Sunday, March 28, 2010




Tidak tahu arah mendapatkan bantuan dan terpengaruh dengan rakan sebaya menyebabkan ramai gadis yang mengandung anak luar nikah mengambil jalan singkat termasuk menggugurkan janin.

Kebanyakan gadis yang mengandung selepas terlanjur dengan teman lelaki buntu dan tertekan menghadapi masalah itu termasuk terlalu takut diketahui keluarga.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata kebanyakan mereka tidak ada maklumat jelas mengenai pihak mana yang mampu membantu dan tempat sewajarnya mendapatkan pertolongan.

Menurutnya, pada saat itu mereka hanya ada rakan sebaya yang mungkin juga pernah menghadapi masalah sama yang kebanyakannya lebih terarah menggugurkannya termasuk sanggup berhadapan risiko dengan memakan ubat bagi menutup kesilapannya.

Katanya, keadaan terbabit menyebabkan banyak kes buang anak dilaporkan hingga ada di antaranya menyebabkan kematian bayi terbabit.

“Sepanjang pengalaman saya, kebanyakan mangsa yang mengandung anak luar nikah ini terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Mereka ini menjadi lebih tertekan kerana berhadapan dengan tindakan buang universiti, terpaksa berhenti atau menangguhkan pengajian.

“Oleh itu, mereka lebih terdorong menggugurkan kandungan bagi menutupnya daripada diketahui pihak universiti sekali gus mengelakkan tindakan diambil terhadapnya,” katanya.

Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Metro Ahad semalam, mengenai tindakan kes buang bayi di kalangan remaja akibat amalan seks bebas.

Berdasarkan laporan itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan 50 kes buang bayi sepanjang tahun lalu.

Ada remaja yang terlanjur hingga menyebabkan mereka terdesak dan sanggup menggugurkan kandungan sendirian.

No comments:

Post a Comment